Belakangan ini, saya sering berkejar-kejar dengan masa. Tiada kesempatan untuk bertegur sapa dengan jiran tetangga, tiada ruang untuk bertandang ke rumah sanak saudara.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar
Langit di atas kelabu warnanya,
Laut di hadapan terbentang luas, tidak tercapai di mana hujungnya
Angin pula bertiup manja, mengelus lembut pipi di waktu senja
Tahun ini, saya menyambut maal hijrah di tepian pantai. Bukan kerana bersuka ria, tetapi atas tuntutan kerja. Saya merenung diri sendiri yang semakin berusia. Sudah sejauh manakah saya berhijrah, ke arah manakah hijrah saya?
Sambil merenung jauh langit dan laut, ayat-ayat ini menjalar di dalam hati, meruntun jiwa, meninggalkan rasa takut dan gerun akan diri sendiri yang entah di ‘mana’.
Allah yang Maha Mulia sifatnya berfirman:
“Apabila langit terbelah, dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan, dan apabila lautan dijadikan meluap, dan apabila kuburan-kuburan dibongkar, maka setiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan yang dilalaikannya”
[al-Infitar:1-5}
Allah yang Maha Mengetahui berfirman lagi:
“Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu dan takutlah pada hari yang ketika itu seorang bapa tidak dapat menolong anaknya, dan seorang anak tidak dapat pula menolong bapanya sedikit pun. Sungguh, janji Allah pasti benar, maka janganlah kamu sekali-kali terpedaya oleh kehidupan dunia dan jangan sampai kamu terpedaya oleh penipu dalam (mentaati) Allah”
{Surah Luqman:33}
Allahuakbar …
Sebenarnya, dalam banyak keadaan kita yang menyibukkan diri kita sendiri. Justeru, untuk melakukan penghijrahan, kita perlu terlebih dahulu mengenali diri sendiri, meneliti dan menyoroti kehidupan sehari-hari.
Sudahkah solat di awal waktu? Atau solatnya sudahlah di akhir waktu, tergesa-gesa pula sifatnya?
Sudahkah tertunai tanggung jawab kita sebagai seorang suami, seorang isteri dan seorang anak?
Bagi anak-anak yang sudah bekerja, sudah berkeluarga, sudahkah kita bertanyakan khabar ibu bapa kita? Makankah mereka pada hari ini? Sihatkah mereka? Sunyikah mereka hidup sendiri? Sementara mereka masih ada, bertanyalah khabar berita…
Bagi ibu bapa pula, sudahkah kita mendidik anak-anak dengan sebaiknya? Adakah setiap hari hidup kita dan anak-anak hanya dipenuhi bebelan dan arahan? Kadang-kadang tanpa kita sedari, kita hanya tinggal serumah, tetapi bukan hidup seperti satu keluarga. Masing-masing membawa diri. Hidup hanyalah melalui kitaran-kitaran biasa, bangun, makan dan tidur..kemudian kitaran itu diulang lagi, lagi dan lagi tanpa ada sebarang pembaikan . Kita lupa untuk menyuntik sesuatu ke dalam hati anak-anak kita setiap hari. Kita lupa mengingatkan mereka tentang kehidupan akhirat, kita lalai dalam mengingatkan mereka akan kebesaran, kekuasaan dan kecintaan kepada Allah. Walau sedikit dan kecil nasihat yang diberi, namun jangan pernah dilupakan walau sehari.. Membina keluarga memerlukan visi dan matlamat yang jelas. Bukankah kita ingin bersama sehingga ke syurga nanti?
Artikel yang dituils oleh Ustaz Zaharuddin yang saya sertakan linknya dibawah ini sangat bermanfaat isinya bagi sesiapa yang mahu melakukan pembaikan.Dan saya setuju sekali dengan kata-katanya bahawa mendidik anak memerlukan perancangan bukan suatu tindakan spontan. Malahan, merancang kejadian anak perlu dilakukan terlebih awal daripada merancang suatu pernikahan. Bacalah dan hayatilah dengan mata hati kerana yang buta itu bukan mata tetapi hati yang ada di dalam dada. http://www.zaharuddin.net/content/view/897/72/
“Maka apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua). Pada hari itu manusia lari dari saudaranya. Dan dari ibu dan bapanya. Dan dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang menyibukkannya” {‘Abasa:33-37}
“Dan orang-orang yang beriman, beserta anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, kami pertemukan mereka dengan anak cucu mereka (di dalam syurga), dan Kami tidak mengurangi sedikit pun pahala amal (kebajikan) mereka. Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya. {At-Tur:21}
Alangkah indahnya janji Allah yang satu ini. Siapa yang tidak ingin bersama-sama orang yang mereka sayangi, kasihi dan cintai ketika di dunia?
Ibrah daripada hijrah rasulullah saw dan para sahabat lebih seribu tahun yang lalu begitu luas untuk kita jelmakan di dalam kehidupan kita. Walau keadaan kita pada hari ini dan zaman Rasulullah saw jauh berbeza,bukan itu yang menjadi pertikaian. Apa yang perlu diserapkan di dalam kehidupan kita ialah semangat jitu Rasulullah dan para sahabat, kecintaan dan keyakinan mereka kepada Allah yang tiada tolok bandingnya. Mereka hidup dengan acuan Allah, mereka sanggup mengorbankan seluruh jiwa dan raga kepada Islam tercinta. Itulah yang akan sentiasa relevan dan bertepatan dengan pelayaran hidup kita malah sehingga akhir zaman!
Buat diriku, ayahandaku, bondaku dan adinda-adindaku..Inginku titipkan bisikan cinta pada kita semua. Walau kini kita telah punya perniagaan kecil-kecilan, jangan dilalaikan solat di awal waktu, jangan diringankan menutup aurat dengan sempurna, jangan dilupa jujur dalam timbangan, jangan diabaikan berbuat kebajikan, jangan dirisaukan untung rugi perniagaan selagi kita menjaga hak-hak Allah dengan sempurna. Yakinlah dengan Allah..yang Maha Memberi Rezeki dari sesuatu yang tidak disangka-sangka asalkan kita bertawakkal dengan sepenuh hati setelah berusaha dengan kudrat yang ada. Kita bukan punya dua rumah, tetapi tiga..dan yang ketiga itu biarlah letak duduknya di syurga. Rumah itulah yang paling wajar kita hiasi dan yang paling harus kita suburi dengan kecintaan dan ketaatan kepada Ilahi.
Berhijrahlah meninggalkan keburukan
Berhijrahlah menuju kebaikan
Berhijrahlah selagi hayat dikandung badan
Berhijrahlah selagi kita masih menghuni dunia yang fana ini sebelum kita berhijrah ke alam akhirat yang kekal abadi
Berhijrah sebelum Berhijrah!
Aduhai..saya juga ingin berhijrah… :)
Salam Maal Hijrah :)
No comments:
Post a Comment