Tuesday, December 8, 2009

~Sebuah Hibah Pernikahan~

“Rumahtangga Islam, di dalamnya ada ketenangan, kerahmatan, kehormatan, cinta dan kasih sayang"









Saya sebenarnya malu sendiri apabila berbicara mengenai pernikahan. Pertamanya kerana saya sendiri belum berkahwin, keduanya saya amat tidak layak berbicara tentang ini kerana “kosong” daripada segi pengalaman, ketiganya saya takut apa yang dikatakan tidak saya kotakan. Namun, anggaplah tulisan ini sebagai cetusan rasa hati dengan tujuan yang sungguh-sungguh sebagai ingatan yang terutama untuk diri sendiri. Jika ada tercanggung bahasa, tersilap dan terkasar kata harap dimaafkan dengan sepenuh hati dan diberi teguran juga…


Antara Lelaki dan Wanita

Menjadi wanita, anak, isteri dan ibu yang solehah di dunia akhir zaman ini bukan suatu tugas enteng dan tidak harus dipandang sebelah mata. Ia merupakan suatu tugas yang susah bahkan payah…
Menuntut ilmu yang penuh di dada, sabar dan ikhlas yang memenuhi jiwa, juga kasih dan cinta semata-mata kerana mengharapkan redha Ilahi~
Tidak kurang juga halnya bagi seorang lelaki yang berperanan sebagai seorang suami, bapa, juga pemimpin. Hidup di dunia akhir zaman ini membentangkan pelbagai dugaan dan cabaran yang perlu ditepis dan ditongkah dengan berbekal semangat jihad yang tinggi. Dan semuanya perlu dilakukan dengan matlamat yang suci dan abadi iaitu bertemu Allah dengan jiwa penuh tenang dan diredhai.

“Lyana, hari tu akak terserempak dengan kak Husna…Nak tahu apa yang dia bagitau akak? Seorang kakak senior saya tiba-tiba bersuara ketika kami sedang berehat-rehat pada suatu petang.
“Apa dia kak Maryam?” Saya bertanya penuh ingin tahu. Terbayang di minda wajah kak Husna yang lembut bersama dua orang cahaya mata lelakinya.
“Dia cakap macam ni…” Kak Maryam meneruskan bicara dengan sinar di matanya.
“Maryam, I wish to produce more.. You know Maryam…since I worked here,
I have seen parents, they are knowledgeable, with no Islamic background,
their children….corrupt.
I have seen parents, with Islamic background, they are too busy,
their children..corrupt. I wish to produce more Maryam, I wish to produce more good muslims..”

Saya menghela nafas panjang antara terkejut dengan kenyataan yang dikhabarkan oleh Kak Husna juga kagum dengan peribadi dan azamnya untuk melahirkan muslim yang indah budi pekerti.
(Maryam dan Husna bukanlah nama sebenar)


Anak Soleh, Permata Penyejuk Mata

Memiliki anak yang soleh sudah semestinya impian paling tinggi setiap ibu dan bapa. Benih yang disemai dengan kasih sayang diharap mampu bercambah menjadi pohon yang subur dan rendang. Berbakti dengan hasil buahnya, menjadi tempat berteduh dengan rendang daunnya. Anak-anak lah yang akan ‘membantu’ kita setelah kita kembali ke rahmatullah kelak dan mereka jugalah yang bisa membaja hati kita dengan sinar tenang dan bahagia selama kita di dunia.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka akan terputus amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariyah atau ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang medoakan kepadanya” {Hadis Riwayat Muslim}

Hadis di atas cukup untuk menggambarkan peri pentingnya anak yang soleh untuk kita ibu bapa tinggalkan sebagai harta yang paling berharga bahkan tidak ternilai di dunia ini.

Namun, realiti yang dipaparkan hari ini begitu merisaukan, menyedihkan dan menyempitkan jiwa. Anak-anak lelaki seperti hilang susuk kepimpinan dalam dirinya, anak-anak perempuan pula seperti lenyap sifat malu yang sepatutnya membaluti dan menghiasi diri mereka. Dan sejujurnya, apabila kita melihat anak-anak lelaki yang tega untuk merempit walau azan maghrib sedang berkumandang atau anak-anak perempuan yang berpakaian menjolok mata ketika sedang melintas jalan, hati kecil kita akan terdetik…

“siapa agaknya ibu bapa mereka..”
“anak siapa agaknya mereka ini?”

Begitu juga sebaliknya apabila kita bertemu dengan pemuda dan pemudi yang elok budi pekertinya, soalan yang sama pasti terdetik juga.


Ibu Bapa Pembimbing Keluarga
Wahai ibu, dirimu adalah anugerah....

Telah berkata seorang penyair:


"sang ibu itu samalah dengan sekolah, jika anda pandai menyesuaikannya
samalah seperti anda membangunkan suatu umat yang baik keturunannya"



Ibu merupakan madrasah pertama anak-anak. Kasih sayang ibu mengalir dan berbunga mekar di dalam jiwa anak-anak semenjak berupa janin ketika masih di dalam kandungan ibu. Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang telah menghadiahkan sifat khususiah seorang wanita yang begitu indah untuk mendidik anak-anak dengan penuh kelembutan serta kasih sayang yang murni dan suci tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Gejolak perasaan seorang ibu juga melebihi gejolak perasaan seorang bapa kepada anaknya.

Seorang ibu lebih dekat dengan anak-anak dan segala kata-kata si ibu begitu senang membekas dan meninggalkan corak di hati anak-anak. Sentuhlah hati anak-anak dengan kasih sayang, cinta dan kelembutan. Jika kita berjaya menawan hati mereka, maka kitalah ibu yang akan menjadi kepercayaan mereka yang utama. Jangan biarkan orang lain yang terlebih dahulu menawan hati anak-anak kita.








Sifat khususiah seorang bapa pula lebih kepada sifat qawwamnya. Seperti firman Allah melalui kalamNya yang mulia di dalam surah an-Nisa' ayat 34 yang bermaksud:

"Lelaki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri) kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan) dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah dan hartanya"

Namun yang demikian, untuk menjadi seorang bapa yang dihormati jua suami yang disegani sifat qawwam itu bukanlah diterjemahkan dengan kekasaran dan keganasan tetapi ketegasan yang diwarnai kelembutan.


Allah swt memerintahkan manusia untuk sentiasa berbudi bahasa seperti firmanNya di dalam surah Ali-Imran ayat 159

“ Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah ruah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabatmu). Kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka akan menjauhkan diri daripada engkau….”

Sampaikanlah kehangatan kasih sayang melalui lembutnya pekerti dan tuturkata. Nescaya, hati anak-anak akan sentiasa dekat di hati kita. Teladanilah pekerti Rasulullah yang tercinta, sinar bahagia pasti kan kunjung tiba.


Ibu Bapa, Guru Kepada Dunia dan Seisinya

Daripada Ibnu Umar r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.aw. bersabda “ Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap seorang dari kamu akan ditanya perihal kepimpinanya. Pemimpin adalah yang bertanggungjawab memimpin dan akan ditanya perihal yang dipimpin olehnya. Seorang lelaki adalah pemimpin dalam keluarganya dan akan ditanya perihal kepimpinanya. Seorang wanita adalah pemimpin dalam rumah suaminya dan akan ditanya perihal kepimpinannya. Buruh adalah pemimpin dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal kepimpinannya. Jadi, setiap orang dari kamu semua adalah pemimpin dan tentu akan ditanya perihal kepimpinanya” {Muttafaq ‘alaih}


Dalam seharian kita bersama anak-anak, telah selesaikah tanggungjawab kita? Apakah telah kita sampaikan apa yang kita perlu sampaikan kepada mereka? Mari sama-sama kita renungkan dan halusi secara ringkas antara tanggungjawab kita sebagai ibu bapa kepada permata hati kita.



Mengenalkan Allah yang Esa


Sedari kecil, anak-anak perlu dipimpin untuk mengenal Allah. Mengenalkan Allah kepada anak-anak melalui nama-namaNya dan sifat-sifatNya yang agung serta memikirkan dan memerhatikan kejadian langit dan bumi yang terbentang luas untuk difahami akan hikmahnya. Apabila ada angin lembut yang datang menyapa, ingatkan bahawa Allah yang berkuasa menghantarnya, apabila bumi basah disirami hujan, ingatkan bahawa Allah yang Maha Pemberi Rezeki, apabila anak-anak melakukan kesalahan ingatkan bahawa Allah Maha Pengampun dan Penyayang daripada segala yang penyayang. Setelah hati anak-anak tertanam dan melimpah dengan kecintaan dan keyakinan kepadaNya mereka akan sentiasa merindui Allah, mudah melakukan ketaatan (bersolat di awal waktu secara berjemaah, berpuasa dengan penuh rasa ketaqwaan), mensyukuri nikmat Allah pada setiap ketika dan seterusnya terdorong untuk berjihad dan berkorban di jalan Allah. Keyakinan kepada Allah melahirkan tawakkal dan menghadirkan keredhaan yang tinggi baik dalam kesenangan mahupun kesusahan. Allah telah berjanji..


"Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya" (At-Talaq:3)


Pahatkan di dalam hati dan jiwa anak-anak bahawa Allah sentiasa bersama mereka, dekat dengan mereka dalam terang mahupun tersembunyi. Rasakan kewujudan dan kebersamaan Allah dalam setiap kelipan mata, setiap helaan nafas, juga setiap titis darah yang mengalir di dalam tubuh.

Sudahkah kita mengenalkan Allah kepada anak-anak? Adakah anak-anak kita telah meletakkan Allah pada tempat pertama di dalam hati mereka?



Meneladani Rasulullah dan Para Sahabat

Teladan yang dibawa oleh Rasulullah begitu mempesona dan penuh kedamaian, membuatkan hati jatuh cinta pada Baginda saw walau tidak pernah bertemu, walau tidak pernah bersua muka. Peribadi dan akhlak yang menghiasi diri Rasulullah saw adalah satu kurniaan Allah untuk kita sebagai umatnya contohi. Peribadi dan akhlak Rasulullah ini dapat kita kenalkan kepada anak-anak melalui hadis-hadis Baginda saw yang merangkumi aspek kehidupan yang luas.


"Sesungguhnya sudah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak meneyebut Allah {al-Ahzab:21}


Begitu juga halnya dengan susuk para sahabat yang telah dipilih Allah untuk mendampingi Rasulullah saw. Abu Bakar yang sentiasa membenarkan, Umar al-Khattab yang tegas dan berani, Uthman 'Affan yang lemah lembut, Khalid al-Walid, Bilal bin Rabah, 'Ali Karamallahuwajhah, dan ramai lagi.Hasil didikan Rasulullah kepada para sahabat membentuk jatidiri yang kukuh lagi kuat di dalam diri mereka, dan jatidiri ini jugalah yang patut kita terapkan kepada permata hati kita.


"Dan kami tidak mengutus kamu (Muhammad) melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui" {as-Saba': 28}


Sudahkah kita benar-benar "menghadirkan" Rasulullah di dalam rumahtangga kita? Sejauh manakah anak-anak kita mengenali Rasulullah dan para sahabat? Atau anak-anak kita lebih mengenali para penghibur pada hari ini?


Mengajarkan dan Memahami al-Quran

Anak-anak perlulah dididik untuk sentiasa membasahi lidah mereka dengan al-Quran agar hati mereka terikat dan karib dengan al-Quran. Hati anak-anak yang tersemat dengan al-Quran lebih lembut dan lebih mudah tersentuh. Justeru, peribadi soleh lebih mudah dibentuk di dalam diri mereka. 'Abdullah Nasih 'Ulwan ada menukilkan di dalam bukunya Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam; bahawa anak-anak itu harus dimulakan pengajaran al-Quran dari awal agar lidah mereka fasih membacanya, jiwa mereka terharu dengannya, hati mereka khusyuk kepadanya, airmata mereka berlinangan ketika membacanya dan dalam diri mereka tertanam sifat keimanan dan keyakinan.


"Daripada 'Ali bin Abu Thalib karamallahuwajhah, bahawasanya Nabi saw pernah bersabda 'Ajarkanlah anak-anak kamu tiga perkara: Mencintai Nabi kamu dan mencintai keluarganya serta membaca al-Quran. Sebab para pembaca al-Quran berad di sisi Arasy Allah bersama-sama para anbiya'Nya dan ashfiya'Nya pada hari tiada naungan melainkan naungan Allah sahaja' {Riwayat at-Thabrani}

Bagaimanakah anak-anak kita menghabiskan masanya hari ini? Apakah dengan membaca dan memahami al-Quran atau mendengar muzik-muzik yang melalaikan dan menonton rancangan-rancangan yang tiada faedah?

Memelihara Aurat dengan Sempurna dan Menjaga Batas Pergaulan

Aurat yang dijaga rapi sangat perlu dititik berat oleh ibu bapa. Bukan sahaja ketika di luar rumah, penjagaan aurat di kalangan ahli keluarga juga perlu dihalusi. Aurat itulah lambang maruah dan harga diri. Anak-anak perempuan masa kini terlalu ramai yang tergadai aurat mereka,seolah-olah tiada langsung perasaan malu di dalam diri mereka.

"Malu dan iman itu adalah teman seiring sejalan. Jika yang satu diangkat, nescaya terangkat pula yang satu lagi" {Hadis Riwayat Malik}

Berkenaan aurat ini, Allah swt berfirman: "Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita Mukmin, hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. yang demikian itu lebih baik, supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" {al-Ahzab:59}

Allah yang Maha Pengasih berfirman lagi yang bermaksud:

".....Dan katakan kepada wanita-wanita beriman, hendaklah mereka melabuhkan kain penutup kepala (tudung) sehingga bahagian dada mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya...." {an-Nur:31}

Aurat anak-anak bukan sahaja perlu diingatkan daripada segi pakaian mereka, bahkan juga suara dan lenggang-lenggok jalan mereka.

Sudahkah kita memberitahu dan bertegas dengan anak-anak akan batas aurat mereka? Pernahkah kita mengingatkan anak-anak perempuan kita dan isteri kita bahawa aurat itu seluruh tubuh kecuali muka dan tangan mereka?

Pergaulan bebas yang berleluasa kini juga sangat menyedihkan. Yang di kampung dengan cara mereka, yang di bandar lain pula caranya. Anak remaja terutamanya sangat perlu dipantau akan siapa teman rapat mereka. Pada saat ini, jiwa remaja dipenuhi dengan gelora nafsu dan rasa inginkan kebebasan. Sebagai ibu bapa adalah sangat wajar kita memerhatikan teman-teman mereka. Biarlah teman-teman mereka selalu mendekatkan mereka kepada Allah dan menambahkan kecintaan mereka kepada Allah dan Rasulullah saw. Pillihlah teman-teman yang dapat menegur dan menasihati bila anak-anak terlupa dan melakukan kesalahan. Sesungguhnya, teman-teman yang paling baik ialah teman-teman yang sentiasa memikirkan bagaimana mahu membawa sahabat-sahabatnya ke syurga.

Daripada Abu Musa Al-Asy'ari bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda: "Perumpamaan teman yang soleh dan teman yang jahat adalah umpama orang yang menjual minyak wangi dan tukang besi peniup api. Penjual minyak wangi samad dia memberi kau sedikit ataupun kau membelikan daripadanya ataupun kau mencium daripadanya bau yang wangi. Sedangkan tukang besi peniup api, samada dia akan membakar pakaianmu, ataupun kau mencium bau yang busuk daripadanya" {Riwayat Bukhari dan Muslim}

Sabda Nabi saw lagi: "Seseorang itu akan dipandang dengan orang yang berjalan dengannya, maka seseorang kamu hendaklah memerhatikan siapa yang menjadi kawannya" {Riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud}

Sudahkah kita memerhatikan dengan siapa anak-anak kita berteman dan kemana halatuju mereka? Atau kita cuma membiarkan dan memandang sebelah mata?

Apa yang diutarakan di atas cuma bingkisan kecil lagi ringkas tentang tanggungjawab kita sebagai ibu bapa. Yang pasti, ia merupakan suatu usaha yang berterusan dan perlu dilakukan tanpa jemu diiringi doa pada setiap detik dan penuh pengharapan. Jangan sekali-kali berputus asa dan jangan sekali-kali mengatakan yang anak-anak kita tiada harapan untuk berubah menjadi lebih baik.

Nabi kita yang tercinta pernah bersabda: "Sesiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid" {Riwayat Ahmad, sahih menurut Syeikh Syuaib Arnout} - hadis ini dipetik daripada buku Untukmu Wanita karangan Ust. Zaharuddin.

Allah yang Maha Berkuasa juga berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu..." {at-Tahrim:6}

Apa yang kita sebagai ibu bapa perlu fikirkan pada setiap masa dan ketika ialah bagaimana kita mahu membawa diri sendiri dan ahli keluarga menjadi ahli syurga Allah. Oleh itu, untuk menjadi ibu bapa yang hebat jua berhemat kita perlu bekerja keras bukan duduk berpangku tangan, juga perlu membuang rasa ego jauh-jauh dan dalam-dalam. Sifat yang menyempurnakan 'ibaadurrahman, hamba Allah yang ingin berbuat baik ialah apabila kita selalu mendoakan untuk dikurniakan anak-anak yang soleh dengan penuh pengharapan dan pergantungan kepada Allah disertai kemahuan di dalam tindakan.

".....Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan zuriat kami sebagai penyejuk mata, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa" {al-Furqan:64}

Andai kita seorang anak, andai kita seorang suami mahupun bapa, andai kita seorang isteri mahupun ibu, jadilah kita semua sebuah hibah iaitu hadiah kepada suatu pernikahan yang dilimpahi mawaddah dan rahmah, menghasilkan rumahtangga yang barakah, seterusnya sejahteralah ummah.

Ya Allah, ampunilah dosaku Ya Allah kerana kadang-kadang aku menasihati adik-adikku dalam keadaan marah. Ampuni dosaku Ya Allah, ampuni dosaku Ya Allah.Penuhkanlah hatiku dengan ingatan kepadaMu.

Wallahu'alam

Ya Allah, peliharalah hati hambaMu~







No comments:

Post a Comment