Friday, February 26, 2010

Cinta,Kasih, dan Sayang...

Sejak akhir-akhir ini, hidup saya penuh emosi. Setelah sekian lama menyimpan cerita sejak berumur 9 tahun, saya meluahkannya pada ibu ketika di meja makan pada suatu malam. Basah baju saya kerana mengalirkan air mata. Entah kenapa peristiwa itu kembali menjengah setelah sekian lama. Peristiwa itu membuatkan saya begitu menghargai kanak-kanak dan cuba melayan setiap butir perkataan yang mereka ucapkan.

Masih saya ingat akan arwah tokki, walaupun arwah seorang yang garang tetapi tidak pernah arwah berkasar dengan kanak-kanak. Arwah sentiasa meraikan kanak-kanak ketika bersama mereka. Sehinggakan selepas arwah meninggal , Ilham yang berumur 8 tahun dan merupakan anak seorang kenalan abah berlari-lari menuju ke bilik arwah kerana menyangka tokki masih di bilik itu.

Tokki juga yang mengajar saya Rukun Islam dan Rukun Iman sewaktu kecil dahulu. Sambil saya melarik-larik lilin untuk dibuat periuk tembaga dengan kaki kecil saya yang comot berlumur debu di bawah bangsal tokki bekerja, dan tokki pula mencampurkan tanah lumpur bersama sekam padi, tokki mengajarkan saya Rukun Islam dan Iman. Ketika kami duduk di atas bangku di hadapan rumah sambil menunggu orang datang membeli arang, tokki mengajarkan ilmu yang lain pula. Ilmu hidup yang biasa-biasa tetapi melekat di dalam kepala dan sehingga ke hari ini begitu berguna. Owh..antara iklan yang arwah tokki gemari ialah iklan PAMPERS. Sambil menonton iklan itu, tokki akan ikut sama menyanyi "Selamat pagi, teman adik di sini, bangun dengan riang, menyanyi! bermain bersama , ayuh!" =)


Cinta Kasih Rasulullah kepada Anak Kecil

Selama 63 tahun Rasulullah saw mengukir akhlak yang mulia di dalam bentuk yang paling memikat jiwa setiap manusia. Baginda seorang Rasul, baginda seorang pemimpin negara, baginda pakar di dalam banyak bidang namun baginda tetap memuliakan dan mengasihi anak kecil serta sentiasa meraikan mereka.

Suatu hari, sedang saya mencari-cari buku "Seorang Tua di Kaki Gunung" karya Azizi Hj. Abdullah..Allah telah menemukan saya dengan sebuah buku yang bertajuk Muhammad: al-Ab wa al Murabbiy karya Muhammad Siraj yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia dan kemudiannya diberi tajuk Cinta Kasih Rasulullah saw. Sebuah buku lama yang berwarna kuning helaiannya namun isi kandungannya begitu mengulit rasa. Ingin saya kongsikan di sini sebahagian kecil kandungannya untuk kita sama-sama hayati dan teladani cinta, kasih, dan sayang baginda kepada cucu-cucunya Husin dan Hasan r.a.

Allahummarhamhu fa inni arhamhu
Ya Allah, cintailah dia kerana sesungguhnya aku mencintainya...

Abu Hurairah berkata: "Kedua-dua telingaku ini pernah mendengar dan kedua-dua mataku ini pernah melihat Rasulullah saw mengambil Hasan atau Husain dengan kedua tangannya, lalu kaki Hasan atau Husain berada di atas kaki Rasulullah. Rasulullah pun bersabda yang bermaksud: "Naiklah wahai anak yang pendek, anak yang pendek dan bermata kecil (sebagai gurauan dan tanda sayang)" Kemudian anak kecil itu naik hingga ia meletakkan kedua kakinya di atas dada Rasulullah. Rasulullah pun bersabda : "Bukalah mulutmu". Lalu Rasulullah menciumnya dan bersabda: "Ya Allah, cintailah dia kerana sesungguhnya aku mencintainya." {Riwayat Tabrani}

Pada suatu hari Rasulullah saw keluar bertemu dengan kaum muslimin sedang bersamanya ada Hasan dan Husain satu di bahu kanan dan yang satu lagi di bahu kiri. Baginda mencium Hasan sekali kemudian mencium Husain pula sekali. Ketika Rasulullah saw membawa Hasan dan Husain, tiba-tiba seorang lelaki bertanya kepada baginda. " Ya Rasulullah, apakah kamu sangat cinta kepada mereka berdua?" Baginda terus menjawab: "Sudah tentu, sesiapa yang mengasihi kedua cucuku ini maka bererti telah mengasihi aku, dan sesiapa yang memarahinya bererti dia memarahi aku."

Di dalam kisah yang lain pula, sedang Rasulullah dalam perjalanan bersama sahabat-sahabat untuk menuju ke rumah seorang sahabat yang menjemput makan di rumahnya, baginda melihat Husain sedang bermain-main dengan kanak-kanak di tengah jalan. Baginda ingin bergurau senda dengan Husain maka baginda berjalan lebih laju hingga terkedepan daripada rombongannya. Apabila tiba dekat Husain baginda membuka kedua-dua tangannya sambil mengisyaratkan supaya Husain melompat kepadanya. Lalu Husain melompat ke arah baginda dan baginda tertawa sambil mendakap serta menciumi Husain sambil bersabda: "Husain sebahagian daripada diriku dan aku sebahagian daripadanya, Allah mengasihi orang yang mengasihi Husain.

Sesungguhnya Allah telah memilih Rasulullah menjadi manusia yang paling mulia. Sifat keayahan dan jiwa pendidik baginda begitu halus dan murni hingga mampu sampai ke dalam hati setiap manusia untuk diteladani di sepanjang zaman. Bagindalah ikutan yang paling mulia, bagindalah Muhammad SAW rasul junjungan kita. Semoga Allah memandu kita semua, memberi taufiq dan hidayah untuk kita mencintai dan meneladani akhlak baginda yang mulia.


Tanggungjawab Ahli Keluarga

Sebuah keluarga itu sesungguhnya punya ahlinya. Setiap ahli itu pula punya peranan dan tanggungjawabnya. Peranan dan tanggungjawab yang perlu kita takuti dan geruni kerana akan disoal suatu hari nanti. Namun, tanggungjawab ini perlu dihadapi dan dipikul bukan untuk kita larikan diri, bukan pula untuk kita sambil lewakannya. Keberkatan hidup bukan hanya diukur pada cukup makannya, tidak juga hanya pada elok pakainya tetapi juga diukur pada lapang dan tenangnya hati dan jiwa. Justeru.. wahai ayahandaku, bondaku, adinda-adindaku baik yang dekat mahupun yang jauh di mata dan diriku terutamanya, jika mahu hidup yang berkat...jangan ponteng tanggungjawab. Tanyakanlah dan hisablah diri sendiri akan tanggungjawab yang belum tertunaikan. Mahu berkat, jangan ponteng tanggungjawab~


Wallahua'lam


Ya Allah peliharalah hati hambaMu~





# buku catatan saya sejak matrikulasi UIA hilang. Sesiapa yang menjumpai sila kembalikan mengikut alamat yang tertera pada helaian pertama buku itu ya~ huhu.

Saturday, February 6, 2010

Tempat Jatuh Lagi Dikenang

Inikan pula.....



Zaman Kanak-Kanak Saya

Ketika masih di bangku sekolah rendah, saya sedikit lain daripada rakan-rakan. Saya lebih suka berjalan kaki ke sekolah daripada menunggang basikal seperti rakan-rakan yang lain. Bukan kerana tidak punya basikal, tetapi pada mulanya saya malu membawa basikal biru yang dibeli abah ke sekolah. Rupanya berbeza daripada basikal rakan-rakan, seperti basikal orang tua! hehe. Ish, 'demand' sungguh...tidak tahu erti berterima kasih~=p Kalaulah ada gambarnya, pasti saya letakkan di sini..Namun, lama-kelamaan saya jadi ketagih berjalan kaki ke sekolah kerana mengenangkan keasyikkan suasananya..Kadangkala, tidak sabar-sabar mahu pulang dari sekolah untuk meniti batas-batas sawah padi. Saya seperti tenggelam dalam dunia sendiri. Dunia kanak-kanak yang penuh dengan angan-angan yang indah~

Sewaktu musim padi sedang masak, angin biasanya bertiup sederhana dan mendamaikan, asyik melihat pokok padi meliuk lintuk ditiup angin. Langit tampak cantik dihiasi wau dan layang-layang berbagai bentuk dan warna.Semua tuan punya berlumba-lumba menaikkan wau masing-masing untuk mendapat gelaran yang paling tinggi. Ketika air bertakung di dalam sawah semasa musim menanam padi, senang sekali melihat ikan-ikan kecil berenang riang seperti sedang berkejar-kejaran sesama mereka. Burung-burung yang berwarna putih bersih setia menunggu anak-anak ikan di alur-alur kecil antara sawah padi sambil sesekali mengibas-ngibas sayapnya. Tidak lupa juga sang kerbau atau lembu buruk mengikut panggilan adik saya ika,yang rela badannya dihinggapi burung-burung, memakan kutu-kutu pada badan mereka mungkin. Di dalam sawah itu jugalah saya pernah terjatuh berlumur lumpur dan bermain dengan lintah..Apabila sampai di rumah, saya akan terbongkok-bongkok di atas tangga membuang kemuncup yang menumpang balik pada kain sekolah. Satu-persatu kemuncup saya buang dengan jari-jemari kecil saya. Mereka semua (haiwan-haiwan itu dan pokok padi) dan saya, sama-sama berkongsi rahmat kurniaan Allah, hidup melata di muka bumi dengan rezeki yang setiap saat mengelilingi. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Namun, ketika itu saya masih belum benar-benar mengerti...





"Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab al-Quran ini, kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)" (al-An'aam:38)

Kami belum punya rumah sendiri ketika mula-mula berpindah ke sini. Menumpang berteduh di rumah tokki dan arwah nenek yang saya panggil "mok". Kampung ini tempat kelahiran abah..saya biasa mandi di telaga. Menjatuhkan timba ke dalam telaga,kemudiannya menarik-narik sekuat hati dengan penuh rasa gembira. Sambil mandi-manda saya akan menjerit-jerit di dalam telaga. Seronok dapat mendengar suara sendiri mencipta gema..Bersyampu juga dengan daun bunga raya yang tumbuh di tepi telaga. Kalau ingin ke tandas pula, saya selalu ajak berteman.Mana tidaknya, tandas agak jauh dari rumah. Air perlu diangkut dengan baldi untuk dibawa ke sana.

Jika tokki dan mok ingin ke kebun, saya akan dibawa bersama. Duduk di dalam kain batik yang mok letakkan antara 'handle' basikalnya membentuk seperti buaian kecil. Masa yang paling dinanti-nanti tentu sahaja waktu tokki dan mok berehat! Kerana tidak sabar ingin menjamah bekal yang dibawa. Air teh-o di dalam 'thermos' berbadan merah dan bertutup perak warnanya serta sedikit kuih-muih dan kadangkala nasi lemak. Oh, saya sudah ingat-ingat lupa~

Zaman Kanak-Kanak Mereka

"Kak long, kak ngah, adik, kita sembahyang asar dulu ya. Pasni kita gi makan pastu jalan-jalan" Saya dan adik saya Laila, ralit memerhati tangan kecil kak long mengikat kain telekung adik-adiknya. Kak long darjah 6, kak ngah darjah 5, adik pula darjah 3. Kak long begitu mengambil berat hal ehwal adik-adiknya, menjaga makan minum dan pakai mereka. Tetapi dia sangat pendiam, mungkin banyak perkara yang dipendam..saya hanya menelah. Yang paling petah berbicara ialah kak ngah. Bercerita itu dan ini, serta aktiviti-aktiviti yang selalu dilakukan di rumah. Adik cuma sesekali mencelah jika berhajatkan sesuatu. Mereka juga riang seperti kanak-kanak lain. Mungkin mereka belum mengenal erti sebenar kehidupan sama seperti saya dahulu. Petang-petang begini mereka biasa menangguk ikan kecil di dalam parit diselang-seli dengan gelak tawa bersama rakan-rakan. Gelak tawa itu seakan memadamkan kesusahan hidup yang menyelubungi mereka sekeluarga. Mereka jarang sekali melihat dunia luar jika tiada yang sudi mempelawa. Kampung inilah tempat mereka meluahkan segala rasa, baik suka atau duka..

Ibu mereka yang saya bahasakan Mak Teh Pah, lumpuh separuh badan kerana angin ahmar. Ayah mereka pula seorang pengawal keselamatan yang tidak tahu memandu, malah tidak tahu menunggang motosikal.. cuma pandai berbasikal sahaja. Semasa mak teh masih sihat rumahnya tersusun rapi, kemas dan bersih. Halamannya dihiasi pokok-pokok bunga yang ditanam di dalam tin-tin kosong yang diatur di sepanjang lorong ke rumahnya. Malah lebih terjaga daripada pokok-pokok bunga saya sendiri. Namun kini, semuanya tidak seperti dahulu. Mak teh hanya mampu mengengsot di tepi tilamnya untuk mandi dan membuang najis. Makan, pakai, tidurnya serba-serbi di sekitar tilam itu. Tilam itulah dunianya beberapa tahun kebelakangan ini. Kalau dahulu mak teh yang membonceng suaminya dengan motosikal untuk ke mana-mana, kini semuanya tinggal kenangan yang entah bila akan berulang lagi~


Rumah mereka juga tidak lagi tersusun rapi seperti dahulu. Makan pakai juga tidak terurus. Sampah merata-rata hingga tiada ruang untuk berpijak di dalam rumahnya yang sedia kecil itu. Mak teh yang dahulunya sentiasa riang dan ceria ketika menjaga ika sudah jauh berubah...Kata-kata yang keluar dari bibirnya lebih banyak menggambarkan kesedihan dan ketidakupayaan. "Mok teh kalu ngesot gak sekak pitu tu jah.." Luah mak teh tentang upayanya yang hanya mampu mengengsot sambil memuncungkan mulut ke arah pintu hadapan rumahnya.

Berbuat Baik Kepada Jiran Tetangga

Ajaran Islam yang mulia sangat menitikberatkan keutamaan hidup berjiran tetangga. Jiran tetangga adalah orang yang paling dekat dengan lingkungan hidup kita setelah ahli keluarga di rumah sendiri. Merekalah yang berada di hadapan, di belakang, di kiri dan kanan hidup kita.Hubungan yang baik sesama jiran sangat perlu diberi perhatian bagi menimbulkan suasana yang harmoni dan sejahtera. Mana mungkin kita hidup tenang dan bahagia jika bermasam muka dan bersalah sangka sesama jiran kita.

Bukan sekadar itu, Rasulullah saw yang kita kasihi juga sentiasa menyebut agar umatnya sentiasa ringan hati untuk berbakti dan memuliakan tetangga. Aisyah ra berkata "Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda:

"Jibril sentiasa berpesan kepadaku agar berbuat baik dengan jiran sehingga aku menyangka bahawa dia akan mengatakan bahawa seseorang jiran boleh menjadi waris kepada jirannya" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah saw yang dikasihi bersabda lagi yang membawa maksud:

"Demi Allah tidak beriman...demi Allah tidak beriman....demi Allah tidak beriman...Kemudian ditanya oleh para sahabat kepada Baginda "Siapakah itu wahai Rasulullah? Rasulullah saw menjawab: Sesiapa yang jirannya tidak terselamat daripada kejahatannya" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya" (Muttafaqun alaih)

Hadis-hadis di atas cukup untuk memberi gambaran betapa pentingnya menjaga hubungan yang baik sesama jiran. Bukan sahaja mengelakkan persengketaan mahupun salah faham tetapi juga menjaga kebajikan dan mengambil berat akan hal ehwal mereka.

Masih saya ingat akan pesan arwah tokki tentang jiran tetangga yang sentiasa diulang semasa hayatnya...

"Kalu nok buat rumoh bila-bila kena tengok dulu sape jirang kita. Pahtu air cucuran atap jangan beri masuk rumoh dia, daun kering pun sama...."

Panjang lagi pesanannya..dan apa yang saya fikirkan dahulu ialah apabila tokki berpesan kalau mahu membina rumah jangan dihalang laluan angin ke rumah jiran kita. Dahulu, saya selalu berfikir bagaimana mahu membina rumah begitu agaknya atau mungkin tokki berkata begitu untuk menggambarkan pentingnya menjaga kebajikan jiran jika hidup bertetangga.

Terdapat sebuah kisah tentang datangnya seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah saw:

"Wahai Rasulullah! Tunjukkanlah kepadaku suatu pekerjaan yang kalau aku kerjakan, nescaya kerananya aku akan dapat memasuki syurga, maka Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab, berbuat baiklah kepada manusia! Lelaki itu bertanya lagi : Bagaimana aku tahu yang aku sudah berbuat baik kepada orang lain? Jawab Rasulullah seterusnya : Tanyakanlah hal itu kepada jiran tetanggamu, maka jika mereka katakan engkau orang yang baik, maka engkau adalah baik dan jika mereka mengatakan engkau orang jahat, maka engkau adalah jahat". (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Allah SWT telah berfirman melalui kalamNya nan mulia yang bermaksud:

"Sembahlah Allah, dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun dan berbuat baiklah terhadap kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin yang terdekat dan tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya yang dimiliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan diri" {Surah an-Nisa':36}

Antara perkara yang perlu kita amati dan perhatikan mengenai hak-hak seorang jiran ialah:

1) Sentiasa memerhatikan samada bahan-bahan atau apa-apa sahaja dari rumah kita yang mungkin mengganggu keselesaan hidup mereka seperti air aliran sinki, tangki kumbahan yang tidak terjaga, dedaun kering atau dahan-dahan yang mengganggu kawasan mereka.

2) Tidak menyakiti hati mereka samada melalui lisan atau perbuatan

3) Menghulurkan bantuan ketika dipinta atau tanpa dipinta

4) Saling memberi hadiah atau bertukar-tukar makanan sesama jiran

5) Menjaga aib mereka dan tidak menceritakan aib mereka kepada orang lain

Ini hanyalah sebahagian kecil hak-hak seorang jiran yang disenaraikan secara ringkas. Alangkah indahnya jika kita dapat memupuk kehidupan berjiran mengikut acuan Islam seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw kerana secara tidak langsung kehidupan kita dan keluarga dipengaruhi oleh siapa jiran kita. Jiran yang baik dan soleh akan membawa tenang dan bahagia, jika sebaliknya akan membawa resah dan duka. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban yang bermaksud:

“Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk”

Saya memerhatikan dengan asyik mereka bertiga menyuap makanan. Kak ngah dan adik makan dengan begitu berselera sekali, kak long pula hanya menyuap perlahan. Ya Allah, malunya saya kerana melupakan jiran tetangga. Ke sana ke mari, mengikuti program itu dan ini tetapi mengabaikan jiran sendiri yang sentiasa diingatkan oleh Rasulullah saw akan kepentingannya. Sesungguhnya pada dirimu Rasulullah telah terdapat contoh ikutan yang mulia lagi nyata. Terdapat banyak lagi hadis-hadis yang menceritakan tentang peri pentingya menjaga hidup bertetangga, namun kerana ilmu yang sedikit hanya ini yang mampu saya kongsi bersama.

"Adik nak tambah lagi?" saya tahu dia mahu tetapi malu. Sengaja saya bertanya untuk memancingnya bersuara. Adik mengangkat pandangannya sambil badannya bergerak-gerak. Dia terus senyap tanpa jawapan, saya mengambil seketul ayam dan meletakkan di dalam pinggannya. Kak long, kak ngah dan adik..sesungguhnya Allah sentiasa bersama kalian. Teruskanlah kehidupan dengan sentiasa berbaik sangka kepada Allah. Ya Allah, ramai lagi jiran-jiranku yang diuji olehMu di luar sana~ Permudahkanlah segala urusan mereka...





Wallahua'lam

Ya Allah, peliharalah hati hambaMu


*Ika akan tiba dari Cairo malam ini! weehu! :) Laila, cepatlah balik..tolong picit-picit kak long..huhu