Monday, November 16, 2009

Suburkanlah Rasa Kehambaanmu Wahai Tetamu Pilihan Allah~


ihsan gambar bunga shana, subhanallah =)


Esok sudah 1 Zulhijjah!

Memetik sedikit ayat daripada laman Ustaz Zaharuddin di zaharuddin.net


"Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan"


Disebutkan oleh Nabi SAW:

"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar, Albani :Sohih)



Allah SWT pula berfirman:

"Demi fajar dan hari-hari yang sepuluh" (Al-Fajr:1)


Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim)

*boleh membaca selanjutnya di zaharuddin.net =)




Dari Abu Hurairah r.a. katanya, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda "Sesiapa yang mengerjakan haji semata-mata kerana Allah, tidak berkata keji dan tidak melakukan perbuatan jahat, orang itu (bersih dosanya) kembali seperti ia baru dilahirkan oleh ibunya (tidak berdosa) {Hadis Riwayat Bukhari}

Wah, seronoknya siapa yang terpilih menjadi tetamu pilihan Allah untuk menunaikan haji..Malam semalam saya berpeluang menonton rancangan Khabar Haji episod 9 di ASTRO Oasis..tertarik sungguh saya dengan temubual di antara Hj. Nazri Kahar dan Prof. Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor mengenai falsafah haji.

Haji adalah sebagai pelengkap kepada semua rukun islam dan rukun iman atau dalam erti kata lain ibadah haji adalah sebagai garam yang memberi rasa kepada ibadah lain. Sebagai contoh, solat yang selama ini kita tunaikan dengan menghadap kiblat apabila kita datang menunaikan haji, kita dapat melihat sendiri Ka'abah yang menjadi kiblat kita selama ini. Begitu juga dengan ibadah puasa yang banyak kaitannya dengan ibadah haji.

Tanah suci pula adalah satu tempat yang padanya menyatakan gambaran-gambaran seperti apa yang dibaca di dalam Al-quran. Tanah suci adalah bumi para anbiya' dan para syuhada' yang mana perjuangan suci mereka, sifat kehambaan dan kecintaan mereka kepada Allah dirakam di dalam Al-Quran sebagai peringatan kepada seluruh umat manusia sehingga akhir zaman.

Wukuf di Arafah
Wukuf di Arafah adalah kemuncak dalam ibadah haji dan boleh digambarkan sebagai perhimpunan yang paling besar bagi setiap manusia seumur hidupnya. Kerana itulah perhimpunan di padang Arafah dapat disamakan seperti perhimpunan di padang mahsyar ketika di hari akhirat kelak...

Dari 'Aisyah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada suatu hari di mana Allah Ta'ala paling banyak membebaskan hambaNya dari neraka selain dari Hari Arafah (9 Zulhijjah) {Hadis Riwayat Muslim}

Wukuf di Arafah adalah satu ketika yang paling mustajab untuk berdoa, menyatakan segala hajat dengan penuh kesungguhan, mengakui segala kesalahan yang paling kecil dan tersembunyi juga segala kelemahan diri sendiri, dan ketika ini juga adalah antara waktu pengkabulan semua hajat manusia...mohonlah keampunan kepada Allah, mohonlah apa sahaja... insyaAllah akan dimakbulkan dengan segala sifat Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hambaNya. Rasakanlah kehambaan itu...

Melontar di Jamrah
Ibadah melontar pula adalah sebagai menzahirkan peperangan yang kita isytiharkan dengan syaitan selama ini. Peperangan yang kita isytiharkan selama ini dengan jiwa dan rohani akhirnya kita zahirkan dengan melontar syaitan laknatullah dengan tangan sendiri.

Sebagai kesimpulannya, menunaikan ibadah haji perlu dirangkumi ilmu yang lengkap dan kesedaran yang tinggi. Apa yang paling mustahak adalah keazaman untuk menyempurnakan ibadah haji dengan penuh rasa kehambaan.

Namun, apa yang lebih penting ialah merasakan dekat dengan Allah, merasakan kecintaan kepada Allah, mengakui kelemahan, kekurangan diri dan segala dosa dan kesalahan janganlah hanya di Tanah Suci. Bertaubatlah sepanjang masa kerana kematian itu datang secara tiba-tiba...

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid ayat 4 yang bermaksud:
........................................dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Apa yang paling menarik ketika temubual yang saya tonton ini ialah jawapan yang diberikan oleh Prof. Abdul Hayei bin Abdul Sukor ketika ditanyakan kenapa para jemaah haji ini sentiasa disebut sebagai tetamu pilihan Allah....

Beliau menjawab lebih kurang begini " Sesiapa sahaja yang melakukan ibadah kepada Allah, adalah tetamu pilihan Allah..ketika solat juga kita adalah tetamu pilihan Allah, jika kita tidak solat, maka kita juga bukanlah tetamu pilihan Allah"

Jadi, siapakah tetamu pilihan Allah itu? tetamu pilihan Allah itu adalah kita...manusia yang diciptakan sebagai hambaNya...
"Tidak Kami jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku" (ad-Dzariyat 51:56)


.......KITALAH TETAMU PILIHAN ALLAH DI DUNIA YANG SEMENTARA INI......


Suburkanlah rasa kehambaan itu~


Wallahu'alam..


p/s: ingatan yang sungguh-sungguh untuk diri sendiri




Ya Allah, peliharalah hati hambaMu~








No comments:

Post a Comment