Akhir-akhir ini, setiap kali saya pulang dari kerja…saya akan terus menonton tv bersama ibu. Melihat program-program sempena musim haji di ASTRO OASIS jika ada…terubat kerinduan kami kepada tanah suci. Saya paling suka melihat visual yang disertakan bersama lagu Ketulusan Hati nyanyian Anuar Zain..visual yang dirakam begitu menyentuh hati nurani…
Terimbas kembali kunjungan saya ke kota Madinah dalam rangka menunaikan Umrah pada bulan Jun yang lepas..Semasa kecil dahulu, ada satu lagu tentang bagaimana gembiranya penduduk kota itu dengan ketibaan Rasulullah di Madinah yang saya selalu dengari melalui kaset…tetapi, saya sudah lupa akan bait liriknya..liriknya lebih kurang begini~ ini sahaja yang mampu saya ingati~
Tiba di Madinah disambut dengan meriah
Seluruh mukmin bersyukur dan gembira
Selamatlah insan dari kekejaman
Terus berjuang membina sebuah empayar
Setibanya di Kota Madinah
Setelah melalui perjalanan selama hampir 5-7 jam kalau tidak silap saya, kami akhirnya tiba di Madinah al-Munawwarah yang penuh indah dan barakah. Badan terasa sedikit penat kerana cuaca yang panas membahang, namun..semuanya indah-indah belaka…
Kami tiba di Madinah ketika hampir waktu Asar..setelah meletakkan barang-barang di dalam bilik masing-masing di Hotel Al-Haram, kami menuju ke Masjid Nabawi yang berdiri megah dan indah..tempat disemadikan kekasih Allah , Rasulullah s.a.w dan dua sahabat yang baginda cintai iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan Umar al-Khattab..sirah-sirah Rasulullah dan para sahabat menerpa tatkala kaki melangkah ke dalam masjid…begitu besar perjuanganmu Ya Rasulullah..
Raudhah, satu taman di antara taman-taman syurga
sumber: kamera kak wi =)
Raudhah itu dikhabarkan oleh Rasulullah saw sebagai salah satu daripada taman-taman syurga seperti yang baginda sebutkan di dalam satu hadis riwayat Bukhari yang bermaksud:
“Di antara kamarku dan mimbarku terletak satu bahagian daripada taman-taman syurga. Dan mimbarku di atas kolam”
Hati ini tertanya-tanya, bagaimana agaknya rupa Raudhah yang disebutkan sebagai sebahagian daripada taman-taman syurga itu? Apa agaknya yang dirasai ketika masuk ke sana?
Waktu untuk memasuki Raudhah berbeza antara jemaah lelaki dan perempuan..waktu bagi jemaah perempuan lebih singkat. Raudhah dapat dikenali melalui tiang dan permaidaninya yang berbeza berbanding kawasan masjid yang lain.. permaidani di Raudhah berwarna hijau berbanding merah di kawasan yang lain..
Kali pertama saya dan ibu memasuki Raudhah, kami menunggu giliran agak lama. Sebelum memasuki Raudhah, jemaah akan dikumpulkan mengikut negara masing-masing…Bagi jemaah dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei yang berbadan kecil akan dibenarkan masuk bersama-sama ke dalam Raudhah. Sebaik sahaja kami dibenarkan masuk, semua orang berpusu-pusu, malah ada yang berlari-lari anak menuju ke Raudhah…ketika itu masih ada jemaah dari Turki yang belum keluar menyebabkan keadaan sedikit sesak, bercampur pula dengan suara petugas wanita menyuruh mereka keluar…Alhamdulillah, akhirnya kami sempat menunaikan solat 2 rakaat secara bergilir-gilir kerana ruang yang sempit dan keadaan yang sesak~ kami tidak dibenarkan berlama-lamaan di dalam Raudhah..saya berdoa untuk mencuba lagi masuk ke Raudhah dalam keadaan yang lebih menenangkan..
Keesokan harinya kami mencuba lagi..setelah kami berada di kawasan menunggu…saya lihat pada suatu sudut di sebalik tiang terdapat kumpulan jemaah dari Tabung Haji. Saya mengajak ibu duduk menunggu bersama-sama mereka..tiada jemaah muda yang kelihatan dalam kumpulan itu, semuanya pertengahan umur dan telah berumur..Alhamdulillah, Allah menemukan kami dengan mereka.. Jemaah Tabung Haji ini dibimbing oleh seorang wanita muda yang bernama Safiyyah (bukan nama sebenar). Safiyyah menerangkan satu persatu tentang Raudhah dengan tenang dan lembut.. Menceritakan sedikit sebanyak tentang Rasulullah dan kehidupan baginda di Madinah secara yang paling ringkas. Mengajarkan beberapa doa yang difahami juga…Cukup sahaja untuk membuatkan hati tersentuh dan merasakan kehadiran Rasulullah di situ~ Kagum sungguh saya dengan Safiyyah sehingga saya menyimpan hasrat untuk menjadi sepertinya kalau-kalau ada peluang walau sekali dua…=)
Akhirnya giliran kami telah tiba..sebelum itu Safiyyah telah berpesan ketika di dalam Raudhah nanti, jangan solat dulu sebelum dia memberi isyarat untuk bersolat..ini kerana petugas-petugas wanita di situ selalu sahaja berkata “ini raudhah ya hajjah, solat, solat!”..tetapi sebenarnya kawasan itu belum lagi Raudhah..mungkin kerana keadaan yang sesak, petugas-petugas itu tidak perasan akannya….Alhamdulillah, syukur sekali lagi kami berpeluang bersama mereka~ Pagi itu kami memasuki Raudhah dalam keadaan yang lebih tenang…~ Dalam keadaan bersesak-sesak itu, Safiyyah telah memanjat tiang untuk memudahkan dia memberikan arahan kepada para jemaahnya..sekali lagi saya kagum dengannya..setelah dia memberi isyarat untuk bersolat, kami mencari sedikit ruang, cukup-cukup sahaja untuk rukuk dan sujud..Allah telah memudahkan, kerana tiba-tiba ada seorang jemaah yang menawarkan tempatnya kepada saya dan ibu~ malah, ibu saya sempat bersolat sebanyak empat rakaat..dan kami sempat berdo’a agak lama di dalam Raudhah. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!
Hari Terakhir di Madinah
Selepas solat zohor hari itu, saya menapak langkah perlahan-lahan, menarik nafas dalam-dalam, memandang ke setiap sudut Masjid Nabawi yang mampu dicapai oleh pandangan mata ini….dengan harapan agar Masjid Nabawi terakam kemas dalam ingatan. Kadangkala, badan saya dan ibu tertolak oleh jemaah-jemaah di sekeliling yang cuba mencari ruang berpusu-pusu untuk keluar. Saya pegang ibu erat-erat, bimbang kalau-kalau terlepas …
“Jangan desak-desak, jangan desak-desak…sabar,sabar”
Terdengar suara seorang jemaah dari Indonesia meluahkan rasa di tengah-tengah kelompok manusia…
Hari itu, hari terakhir saya di Madinah…hati pilu tidak terkata, sama seperti pilunya hati ketika tawaf wada’ di Baitullah yang suci..bisakah saya kembali ke sini? Terlalu singkat masa saya di Madinah..Belum puas, belum habis saya kenangkan dan selusuri sirah Rasulullah dan para sahabat~ Betapa dalamnya cintamu Ya Rasulullah kepada kami umatmu ini…Betapa malunya saya mengingatkan hakikat itu…
Saya sangat ingin ke sana lagi..jika Allah izinkan, dengan keupayaan yang saya ada, cukuplah walau sekali ketika Ramadhan dan sekali ketika menunaikan Haji~
Ya Makkah al- Mukarramah, Ya Madinah al-Munawwarah
Kota suci kecintaan Rasulullah
Kenangkanlah kedatanganku ini
Jemputlah aku untuk datang kembali………………..
Selamat Tinggal wahai dua Tanah Suci, diizinkan Allah, aku pasti kembali lagi
Syukur pada-Mu Ya Allah atas ukhuwwah antara kami para jemaah ; kak linda yang tabah bersama ibunya, kak noni yang cute dan awet muda bersama ibunya, kak mas yang comel sekali bunyi ketawanya, mama lina, nana, ateh dan achik yang comel juga~ kak adilah yang baik hati, faiz bersama ibunya dan poe yang rajin membantu (sekadar menyebut beberapa nama) serta terima kasih kepada pengurusan Harmony Excellence Travel and Tours; Cikgu Nor Hashim dan Shahir Ibrahim, juga Ust. Razak dan Ust. Fakhrurrazi (kalau tidak silap namanya..huhu)
Sekian...........
Apa yang ditulis ini tidak cukup sebenarnya untuk menggambarkan segala perasaan dan suasana..berdoalah kepada Allah agar kita semua akan dijemput menjadi tetamuNya di tanah yang penuh barakah..ameen..
Ya Allah, peliharalah hati hambaMu~
Salam, akak!
ReplyDeleteNak gi umrah jugak T_T