Sunday, September 13, 2009

Rindu yang penuh padat~

Jangan biarkan ia hilang sebelum ertinya benar-benar kita fahami dan rasai


Setiap kali saya melihat Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di televisyen, setiap kali itu juga hati saya rasa sayu dan rindu. Walaupun ketika saya ke sana dahulu cuacanya panas, tetapi panas itulah yang dirindui,walaupun perjalanan ke kedua-dua masjid yang suci itu bahangnya sehingga menyentap ke muka, namun bahang itu juga yang dirindui....tidak terleraikan rasa rindu itu dari hati ini.


Ramadhan juga hampir tiba ke penghujungnya. Rasa sayu juga turut menyelubungi hati saya. Jika pada permulaan Ramadhan kadang-kadang saya senyum sendiri kerana rasa bahagia dan gembira dengan kehadirannya, akhir-akhir ini seringkali hati dan mata menitis-nitis kerana sedih akan pemergiannya. Juga ada rasa bimbang dan risau dengan bekalan taqwa hasil madrasah Ramadhan tahun ini...


Syukur saya panjatkan di atas nikmat Islam dan iman dari Allah. Hanya syukur sahaja yang mampu dan layak saya ucapkan. Semoga Allah tetapkan keimanan dan aqidah sehingga ke akhir hayat.


Saya pasti merindui Ramadhan dan saya benar-benar berharap rasa rindu itu akan sentiasa basah di dalam hati. Ya Allah, temukanlah diriku dengan ramadhan yang akan datang dalam keadaan yang lebih baik dan sempurna.


~Kekasihku sudah mahu pulang~


Kekasihku sudah mahu pulang
Aku takut tinggal seorang
Tinggalkan dalam hatiku walau secebis pesan
Buat bekalan kala ku dilambung gelombang

Kekasihku sudah mahu pulang
Pasti nanti ku terbayang-bayang
Rindu ini tak bisa ku pendam
Apakah nanti kau kan kunjung datang?

Kekasihku sudah mahu pulang
Rugikah aku?
Untungkah aku?
Atau aku ini si celaka yang tidak mendapat pengampunan?

Kekasihku sudah mahu pulang
Tinggalkan diriku seorang
Moga tarbiyyah kali ini tertanam dalam-dalam
Agar nanti jika terkorek aku bisa mencari jalan pulang

Kekasihku sudah mahu pulang
Sayang seribu kali sayang
Ku pohon pada-Mu Tuhan
Moga akan datang aku masih diberi peluang

Kekasihku Ramadhan sudah mahu pulang
Tiba-tiba aku jadi sayang dan bimbang....
Ya Allah, peliharalah hati hambaMu~

No comments:

Post a Comment