Monday, November 16, 2009

Suburkanlah Rasa Kehambaanmu Wahai Tetamu Pilihan Allah~


ihsan gambar bunga shana, subhanallah =)


Esok sudah 1 Zulhijjah!

Memetik sedikit ayat daripada laman Ustaz Zaharuddin di zaharuddin.net


"Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan"


Disebutkan oleh Nabi SAW:

"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar, Albani :Sohih)



Allah SWT pula berfirman:

"Demi fajar dan hari-hari yang sepuluh" (Al-Fajr:1)


Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim)

*boleh membaca selanjutnya di zaharuddin.net =)




Dari Abu Hurairah r.a. katanya, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda "Sesiapa yang mengerjakan haji semata-mata kerana Allah, tidak berkata keji dan tidak melakukan perbuatan jahat, orang itu (bersih dosanya) kembali seperti ia baru dilahirkan oleh ibunya (tidak berdosa) {Hadis Riwayat Bukhari}

Wah, seronoknya siapa yang terpilih menjadi tetamu pilihan Allah untuk menunaikan haji..Malam semalam saya berpeluang menonton rancangan Khabar Haji episod 9 di ASTRO Oasis..tertarik sungguh saya dengan temubual di antara Hj. Nazri Kahar dan Prof. Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor mengenai falsafah haji.

Haji adalah sebagai pelengkap kepada semua rukun islam dan rukun iman atau dalam erti kata lain ibadah haji adalah sebagai garam yang memberi rasa kepada ibadah lain. Sebagai contoh, solat yang selama ini kita tunaikan dengan menghadap kiblat apabila kita datang menunaikan haji, kita dapat melihat sendiri Ka'abah yang menjadi kiblat kita selama ini. Begitu juga dengan ibadah puasa yang banyak kaitannya dengan ibadah haji.

Tanah suci pula adalah satu tempat yang padanya menyatakan gambaran-gambaran seperti apa yang dibaca di dalam Al-quran. Tanah suci adalah bumi para anbiya' dan para syuhada' yang mana perjuangan suci mereka, sifat kehambaan dan kecintaan mereka kepada Allah dirakam di dalam Al-Quran sebagai peringatan kepada seluruh umat manusia sehingga akhir zaman.

Wukuf di Arafah
Wukuf di Arafah adalah kemuncak dalam ibadah haji dan boleh digambarkan sebagai perhimpunan yang paling besar bagi setiap manusia seumur hidupnya. Kerana itulah perhimpunan di padang Arafah dapat disamakan seperti perhimpunan di padang mahsyar ketika di hari akhirat kelak...

Dari 'Aisyah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada suatu hari di mana Allah Ta'ala paling banyak membebaskan hambaNya dari neraka selain dari Hari Arafah (9 Zulhijjah) {Hadis Riwayat Muslim}

Wukuf di Arafah adalah satu ketika yang paling mustajab untuk berdoa, menyatakan segala hajat dengan penuh kesungguhan, mengakui segala kesalahan yang paling kecil dan tersembunyi juga segala kelemahan diri sendiri, dan ketika ini juga adalah antara waktu pengkabulan semua hajat manusia...mohonlah keampunan kepada Allah, mohonlah apa sahaja... insyaAllah akan dimakbulkan dengan segala sifat Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hambaNya. Rasakanlah kehambaan itu...

Melontar di Jamrah
Ibadah melontar pula adalah sebagai menzahirkan peperangan yang kita isytiharkan dengan syaitan selama ini. Peperangan yang kita isytiharkan selama ini dengan jiwa dan rohani akhirnya kita zahirkan dengan melontar syaitan laknatullah dengan tangan sendiri.

Sebagai kesimpulannya, menunaikan ibadah haji perlu dirangkumi ilmu yang lengkap dan kesedaran yang tinggi. Apa yang paling mustahak adalah keazaman untuk menyempurnakan ibadah haji dengan penuh rasa kehambaan.

Namun, apa yang lebih penting ialah merasakan dekat dengan Allah, merasakan kecintaan kepada Allah, mengakui kelemahan, kekurangan diri dan segala dosa dan kesalahan janganlah hanya di Tanah Suci. Bertaubatlah sepanjang masa kerana kematian itu datang secara tiba-tiba...

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid ayat 4 yang bermaksud:
........................................dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Apa yang paling menarik ketika temubual yang saya tonton ini ialah jawapan yang diberikan oleh Prof. Abdul Hayei bin Abdul Sukor ketika ditanyakan kenapa para jemaah haji ini sentiasa disebut sebagai tetamu pilihan Allah....

Beliau menjawab lebih kurang begini " Sesiapa sahaja yang melakukan ibadah kepada Allah, adalah tetamu pilihan Allah..ketika solat juga kita adalah tetamu pilihan Allah, jika kita tidak solat, maka kita juga bukanlah tetamu pilihan Allah"

Jadi, siapakah tetamu pilihan Allah itu? tetamu pilihan Allah itu adalah kita...manusia yang diciptakan sebagai hambaNya...
"Tidak Kami jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku" (ad-Dzariyat 51:56)


.......KITALAH TETAMU PILIHAN ALLAH DI DUNIA YANG SEMENTARA INI......


Suburkanlah rasa kehambaan itu~


Wallahu'alam..


p/s: ingatan yang sungguh-sungguh untuk diri sendiri




Ya Allah, peliharalah hati hambaMu~








Thursday, November 12, 2009

Merindu pada yang jauh, Mencinta pada yang dekat~

Dahulu, semasa saya mula-mula menamatkan pengajian di UIA, orang-orang di sekeliling sering bertanyakan...
“dulu, belajar di mana?”
“di UIA” saya menjawab...
“UIA mana? Kuantan ke Gombak?”
“3 tahun di Gombak, setahun di Kuantan”
Kadang-kadang menjawab pertanyaan itu sahaja membuatkan hati saya sebak...


Gombak dan Kuantan


Di sepanjang perjalanan kehidupan saya di kedua kampus itu,
Bukan sedikit tangis yang saya tumpahkan
Bukan sedikit keringat yang mengalir
Bukan sedikit gelak tawa yang saya hamburkan
Bukan sedikit senyuman yang saya lirikkan
Bukan sedikit ukhuwwah yang saya hulurkan
Bukan sedikit perasaan yang saya pendam
Bukan sedikit soalan dan masalah yang bermain dan berlegar di fikiran..
Ada yang terjawab, tetapi banyak juga yang dibiarkan larut ditelan masa...

Apa yang saya lalui di sepanjang pengajian di Taman Ilmu dan Budi teradun begitu indah...dijalin dan disulam dengan kenangan manis dan pahit. Ada diantara kenangan-kenagan itu mengajar saya erti hidup, malah mengajar saya erti sebenar hidup berTUHAN!


Diulit awan rindu Gombak

Saya jatuh dan bangun, jatuh lagi dan bangun lagi, jatuh dan bangun berkali-kali
Ada jatuh yang bersambut
Ada jatuh yang berpimpin
Ada jatuh yang saya perlu bertatih

Gombak, adalah lapangan saya berbuat salah dan silap dan teraba-raba di dalam gelap
Saya tidak tahu bagaimana mahu menguruskan perasaan yang timbul
Saya membuang tenaga, masa dan akal muda kepada perkara yang tidak perlu dan tidak aula
Saya masih tercari-cari erti persahabatan yang hakiki...

Berteduh di bawah pepohon cinta Kuantan

Di Kuantan, saya mula mencari tempat berteduh, mula mencari tempat buat melabuhkan sauh iman dan akhlak..hati ini penuh debu dan lumpur yang perlu dibasuh dan digilap agar hilang kabur dan karat...

Di Kuantan lah saya mula-mula mengenal erti sebenar tarbiyyah dan mujahadah. Ketika pertama kali saya berkenalan dengan usrah, terasa seperti ada suara yang berbisik dan memberitahu...

“Kamu hidup punya tujuan dan matlamat!”

Masih terasa hangatnya air mata yang mengalir ketika kali pertama saya berusrah malam itu..Hidup perlu dirancang sebagai bekal di alam kematian...
Dalam pada saya mengenal tarbiyyah ini juga, saya masih terjatuh...
Benarlah...kalau kamu mengaku beriman, kamu pasti akan diuji.

Saya yang di sini hari ini adalah hasil kenangan-kenangan pada waktu silam. Apabila saya menoleh ke belakang, terlalu luas hikmah yang Allah hamparkan di sebalik setiap kejadian. Syukur yang tidak terhingga Ya Allah, Engkau melorongkan aku ke jalan ini..tetapkanlah aku di atas jalan yang lurus sehingga ke akhir hayatku. Masih banyak yang perlu dibaiki, terlalu banyak yang perlu dipelajari dan dihayati..

Pagi itu, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja seperti biasa saya melintasi kanak-kanak yang dalam perjalanan ke sekolah. Semuanya comel dan manis belaka...terhibur hati melihat mereka.. walau muka comot bertompok bedak, walau memakai tudung senget sebelah, walau terbongkok-bongkok membawa beg yang berat...mereka tetap sedap dipandang~ jauh didalam...hati saya bersenandung...


“Wahai adik-adikku, perjalanan kalian masih jauh...carilah Allah dan letakkan pada tempat pertama dalam hati kalian, cintailah Rasulullah dan berakhlaklah sebagaimana mulianya akhlak baginda..ketahuilah adik-adikku, jalan ke neraka penuh syahwat dan keseronokan, jalan ke syurga penuh onak dan duri berbisa. Berhati-hatilah kalian dengan bekal iman dan taqwa...Dengarkanlah wahai adik-adikku, ini senandung kasih dariku untukmu...”

Jika ada hidayah Allah yang datang menyapa, sambutlah ia..Jangan lepaskan, nanti ia hilang..
Takut apabila ia hilang , hidayah itu tidak mungkin datang kembali..Sambutlah kasih sayang Allah itu!

Merindu pada Gombak, Mencinta pada Kuantan.....

Ya Allah, peliharalah hati hambaMu~

Sunday, November 8, 2009

Cinta Kasih Haramain (Bahagian Akhir)




alamak, lupa source gambar-gambar ni..maaf ya tuan punya


Akhir-akhir ini, setiap kali saya pulang dari kerja…saya akan terus menonton tv bersama ibu. Melihat program-program sempena musim haji di ASTRO OASIS jika ada…terubat kerinduan kami kepada tanah suci. Saya paling suka melihat visual yang disertakan bersama lagu Ketulusan Hati nyanyian Anuar Zain..visual yang dirakam begitu menyentuh hati nurani…
Terimbas kembali kunjungan saya ke kota Madinah dalam rangka menunaikan Umrah pada bulan Jun yang lepas..Semasa kecil dahulu, ada satu lagu tentang bagaimana gembiranya penduduk kota itu dengan ketibaan Rasulullah di Madinah yang saya selalu dengari melalui kaset…tetapi, saya sudah lupa akan bait liriknya..liriknya lebih kurang begini~ ini sahaja yang mampu saya ingati~




Tiba di Madinah disambut dengan meriah
Seluruh mukmin bersyukur dan gembira
Selamatlah insan dari kekejaman
Terus berjuang membina sebuah empayar




Setibanya di Kota Madinah

Setelah melalui perjalanan selama hampir 5-7 jam kalau tidak silap saya, kami akhirnya tiba di Madinah al-Munawwarah yang penuh indah dan barakah. Badan terasa sedikit penat kerana cuaca yang panas membahang, namun..semuanya indah-indah belaka…

Kami tiba di Madinah ketika hampir waktu Asar..setelah meletakkan barang-barang di dalam bilik masing-masing di Hotel Al-Haram, kami menuju ke Masjid Nabawi yang berdiri megah dan indah..tempat disemadikan kekasih Allah , Rasulullah s.a.w dan dua sahabat yang baginda cintai iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan Umar al-Khattab..sirah-sirah Rasulullah dan para sahabat menerpa tatkala kaki melangkah ke dalam masjid…begitu besar perjuanganmu Ya Rasulullah..


Raudhah, satu taman di antara taman-taman syurga




sumber: kamera kak wi =)




Raudhah itu dikhabarkan oleh Rasulullah saw sebagai salah satu daripada taman-taman syurga seperti yang baginda sebutkan di dalam satu hadis riwayat Bukhari yang bermaksud:



“Di antara kamarku dan mimbarku terletak satu bahagian daripada taman-taman syurga. Dan mimbarku di atas kolam”

Hati ini tertanya-tanya, bagaimana agaknya rupa Raudhah yang disebutkan sebagai sebahagian daripada taman-taman syurga itu? Apa agaknya yang dirasai ketika masuk ke sana?

Waktu untuk memasuki Raudhah berbeza antara jemaah lelaki dan perempuan..waktu bagi jemaah perempuan lebih singkat. Raudhah dapat dikenali melalui tiang dan permaidaninya yang berbeza berbanding kawasan masjid yang lain.. permaidani di Raudhah berwarna hijau berbanding merah di kawasan yang lain..

Kali pertama saya dan ibu memasuki Raudhah, kami menunggu giliran agak lama. Sebelum memasuki Raudhah, jemaah akan dikumpulkan mengikut negara masing-masing…Bagi jemaah dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei yang berbadan kecil akan dibenarkan masuk bersama-sama ke dalam Raudhah. Sebaik sahaja kami dibenarkan masuk, semua orang berpusu-pusu, malah ada yang berlari-lari anak menuju ke Raudhah…ketika itu masih ada jemaah dari Turki yang belum keluar menyebabkan keadaan sedikit sesak, bercampur pula dengan suara petugas wanita menyuruh mereka keluar…Alhamdulillah, akhirnya kami sempat menunaikan solat 2 rakaat secara bergilir-gilir kerana ruang yang sempit dan keadaan yang sesak~ kami tidak dibenarkan berlama-lamaan di dalam Raudhah..saya berdoa untuk mencuba lagi masuk ke Raudhah dalam keadaan yang lebih menenangkan..

Keesokan harinya kami mencuba lagi..setelah kami berada di kawasan menunggu…saya lihat pada suatu sudut di sebalik tiang terdapat kumpulan jemaah dari Tabung Haji. Saya mengajak ibu duduk menunggu bersama-sama mereka..tiada jemaah muda yang kelihatan dalam kumpulan itu, semuanya pertengahan umur dan telah berumur..Alhamdulillah, Allah menemukan kami dengan mereka.. Jemaah Tabung Haji ini dibimbing oleh seorang wanita muda yang bernama Safiyyah (bukan nama sebenar). Safiyyah menerangkan satu persatu tentang Raudhah dengan tenang dan lembut.. Menceritakan sedikit sebanyak tentang Rasulullah dan kehidupan baginda di Madinah secara yang paling ringkas. Mengajarkan beberapa doa yang difahami juga…Cukup sahaja untuk membuatkan hati tersentuh dan merasakan kehadiran Rasulullah di situ~ Kagum sungguh saya dengan Safiyyah sehingga saya menyimpan hasrat untuk menjadi sepertinya kalau-kalau ada peluang walau sekali dua…=)

Akhirnya giliran kami telah tiba..sebelum itu Safiyyah telah berpesan ketika di dalam Raudhah nanti, jangan solat dulu sebelum dia memberi isyarat untuk bersolat..ini kerana petugas-petugas wanita di situ selalu sahaja berkata “ini raudhah ya hajjah, solat, solat!”..tetapi sebenarnya kawasan itu belum lagi Raudhah..mungkin kerana keadaan yang sesak, petugas-petugas itu tidak perasan akannya….Alhamdulillah, syukur sekali lagi kami berpeluang bersama mereka~ Pagi itu kami memasuki Raudhah dalam keadaan yang lebih tenang…~ Dalam keadaan bersesak-sesak itu, Safiyyah telah memanjat tiang untuk memudahkan dia memberikan arahan kepada para jemaahnya..sekali lagi saya kagum dengannya..setelah dia memberi isyarat untuk bersolat, kami mencari sedikit ruang, cukup-cukup sahaja untuk rukuk dan sujud..Allah telah memudahkan, kerana tiba-tiba ada seorang jemaah yang menawarkan tempatnya kepada saya dan ibu~ malah, ibu saya sempat bersolat sebanyak empat rakaat..dan kami sempat berdo’a agak lama di dalam Raudhah. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!


Hari Terakhir di Madinah

Selepas solat zohor hari itu, saya menapak langkah perlahan-lahan, menarik nafas dalam-dalam, memandang ke setiap sudut Masjid Nabawi yang mampu dicapai oleh pandangan mata ini….dengan harapan agar Masjid Nabawi terakam kemas dalam ingatan. Kadangkala, badan saya dan ibu tertolak oleh jemaah-jemaah di sekeliling yang cuba mencari ruang berpusu-pusu untuk keluar. Saya pegang ibu erat-erat, bimbang kalau-kalau terlepas …


“Jangan desak-desak, jangan desak-desak…sabar,sabar”

Terdengar suara seorang jemaah dari Indonesia meluahkan rasa di tengah-tengah kelompok manusia…


Hari itu, hari terakhir saya di Madinah…hati pilu tidak terkata, sama seperti pilunya hati ketika tawaf wada’ di Baitullah yang suci..bisakah saya kembali ke sini? Terlalu singkat masa saya di Madinah..Belum puas, belum habis saya kenangkan dan selusuri sirah Rasulullah dan para sahabat~ Betapa dalamnya cintamu Ya Rasulullah kepada kami umatmu ini…Betapa malunya saya mengingatkan hakikat itu…

Saya sangat ingin ke sana lagi..jika Allah izinkan, dengan keupayaan yang saya ada, cukuplah walau sekali ketika Ramadhan dan sekali ketika menunaikan Haji~


Ya Makkah al- Mukarramah, Ya Madinah al-Munawwarah
Kota suci kecintaan Rasulullah
Kenangkanlah kedatanganku ini
Jemputlah aku untuk datang kembali………………..

Selamat Tinggal wahai dua Tanah Suci, diizinkan Allah, aku pasti kembali lagi

Syukur pada-Mu Ya Allah atas ukhuwwah antara kami para jemaah ; kak linda yang tabah bersama ibunya, kak noni yang cute dan awet muda bersama ibunya, kak mas yang comel sekali bunyi ketawanya, mama lina, nana, ateh dan achik yang comel juga~ kak adilah yang baik hati, faiz bersama ibunya dan poe yang rajin membantu (sekadar menyebut beberapa nama) serta terima kasih kepada pengurusan Harmony Excellence Travel and Tours; Cikgu Nor Hashim dan Shahir Ibrahim, juga Ust. Razak dan Ust. Fakhrurrazi (kalau tidak silap namanya..huhu)

Sekian...........


Apa yang ditulis ini tidak cukup sebenarnya untuk menggambarkan segala perasaan dan suasana..berdoalah kepada Allah agar kita semua akan dijemput menjadi tetamuNya di tanah yang penuh barakah..ameen..


Ya Allah, peliharalah hati hambaMu~