Tuesday, October 13, 2009

Tokki-tokki ku~

Malam tadi semasa saya membawa makan malam untuk tokki (Hj. Besar bin Sulong namanya), dari jauh sudah terdengar alunan suara tokki membaca al-quran~ tokki tidak makan lauk yang banyak, tapi agak cerewet juga dalam memilih lauk..hehe (macam orang muda taste tokki)



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

"assalamu'alaikum!"



"waalaikumussalam! bawok mende pulok tu.." (bawa apa pulak tu..)



"ikan bakor ngan sayur lemok" (ikan bakar dan sayur lemak)



"kekgi wak balik la pinggan hok ada tu..." (nanti, bawa balik pinggan yang ada tu...)



senyum " tokki dok gi tahlil ke malang ning?" (tokki tak pergi tahlil malam ni?")



"batuk dok'oh , kekgi nyusoh ke oghang je dengor" (batuk teruk sangat, nanti susahkan orang dengar batuk ni)



"dak pe ah tokki, gi sejid doh la.." (takpela, tokki pergi masjid je la...)



saya terus ke dapur, tokki menyambung bacaannya...setelah siap di dapur, saya duduk di hadapan tokki mendengar alunan bacaannya...khusyuk sungguh tokki mengaji, seperti saya tiada di depannya...=)



sambil itu, saya berfikir-fikir...syukur juga ada kak tin di rumah. boleh tengok-tengokkan tokki ketika yang lain ke tempat kerja~



tiba-tiba tokki berhenti mengaji, dan menunjukkan satu ayat kepada saya..lupa saya meneliti dari surah apa ayat itu~ huhu.



"ni maknanya, Allah laknat orang kafir~"



saya angguk penuh semangat~ teringat pula pada arwah tokki di sebelah ibu saya...Hj. 'Abdullah bin Tawang namanya.lebih dikenali dengan tokki tanjung di kalangan kami kerana asalnya dari Kg. Tanjung Kapur, berketurunan Bugis [agak garang juga orangnya..=)]



semangatnya

ketelitiannya

sistematiknya

cintanya pada ilmu begitu ketara sehingga akhir hayatnya~



antara perbualan lazim antara saya dan tokki setiap kali saya pulang bercuti dari UIA, setiap kali...hehe. setiap kali itu juga soalan yang sama yang arwah akan tanya pada saya...dan setiap kali itu juga, jawapan yang sama saya akan utarakan~



"nughu, dok pandai arab ke?" (nurul tak pandai arab ke?)



"pandai sikik-sikik je tokki" (pandai sikit-sikit aje tokki)



"kang dulu blajo skoloh arab, pahtu kang masuk UIA pulok, unibersiti islam antarabangsa" (bukan ke dulu belajar di sekolah arab, lepas tu masuk UIA pula) tokki suka menyebut nama penuh UIA..tergelak-gelak saya dibuatnya.



"kat UIA kita blajo bahsa inggereh" (di UIA kita belajar bahasa inggeris)



"pelik ngat, nama unibersiti islam tapi blajo bahsa inggereh" (pelik sangat, nama universiti islam tetapi belajar bahasa inggeris)



saya senyum-senyum lagi~



"doh sape nok baca kitab arab tokki tu, banyok ada. nughu dok pandai, amer afiq dok pandai, husna dok pandai (menyebut nama-nama sepupu saya yang belajar di sekolah agama)" (habis tu siapa yang nak baca kitab arab tokki tu, ada banyak. nurul tak pandai, amer afiq tak pandai, husna tak pandai)



"dakpe tokki, kekgi kita sughuh anok-anok kita blajo arab sapa pandai, hehe" saya menjawab sambil tersengih-sengih... (takpe tokki, nanti kita suruh anak-anak kita belajar arab sampai pandai)



arwah tokki tanjung memang cintakan ilmu, sangat sistematik hidupnya, sangat teliti...

memang banyak kitab berbahasa arab dalam simpanan arwah yang kini sebahagiannya menjadi simpanan di rumah saya. itu belum lagi termasuk buku-buku yang arwah tulis sendiri. segala ilmu-ilmu yang beliau kutip daripada segala bahan bacaan akan arwah bukukan mengikut kategori masing-masing. sedangkan petua-petua yang arwah temui di dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah juga arwah bukukan..



arwah mempunyai buku yang menyusun jadual harian. pukul berapa arwah akan menonton televisyen, rancangan apa yang akan ditonton, apa pengajaran yang dapat diambil dari rancangan itu...semuanya arwah rekodkan. jika arwah menonton rancangan-rancangan ilmiah seperti al-kuliyyah dan forum perdana ehwal islam, arwah akan mencatatkan siapa panelisnya, apa tajuk yang dibincangkan dan apa pengajaran yang boleh diambil...



bukan itu sahaja, arwah juga mempunyai satu buku catatan yang merekodkan surah-surah yang dibaca dalam sehari...satu muka surat dibahagikan kepada beberapa column..



waktu membaca, ayat berapa, dan pengajaran yang diambil daripada ayat...sistematik bukan? =)



arwah juga mempunyai diari peribadi yang sekarang berada dalam simpanan saya dengan tajuk "DIRY" pada kulit depannya...comel kan <(^-^)>~ diari yang ada dalam simpanan saya ini bertarikh dari tahun 2004 sehingga 2006. sehingga tahun arwah meninggal dunia pada 17 Ramadhan 1427 Hijriyah~ diari-diari yang lain mungkin di dalam simpanan sepupu-sepupu saya yang lain~ diari itu mencatatkan segala aktiviti hariannya..siapa yang datang berziarah, apa yang arwah makan, warna pil yang doktor berikan sebagai bekal ubatnya (kalau pil itu berwarna kuning dan merah, arwah akan catatkan begitu!). ketika arwah di hospital, setiap menu makanan arwah rekodkan, dan juga setiap tekanan darah yang diambil oleh misi (panggilan tokki saya pada jururawat) di hospital



bukan itu sahaja, segala aktivitinya...di mana arwah menanam pokok pisang, jenis pisang apa yang ditanam, tarikh pisang itu mengeluarkan jantung dan bila pisang itu dijangka berbuah, semuanya arwah rekodkan dengan baik (arwah juga punya peta yang melukiskan tempat tanaman pokok pisang, tetapi tidak dijumpai..)~ peristiwa ketika seorang ibu saudara saya meninggal kerana kanser juga beliau catatkan dengan teliti~



setiap kali saya membuka catatan diarinya, setiap kali itu juga ada rasa rindu pada arwah~ ada satu peristiwa antara saya dan arwah tokki yang saya tidak boleh kenangkan~ setiap kali saya kenangkan pasti air mata saya mengalir laju...



kalau arwah ke kedai kopi bersebelahan rumah saya, bermacam-macam benda yang dibawa di dalam poketnya. ada getah ikat, pisau lipat, tisu..senang katanya~ kalau mahu membuka plastik laksam (makanan di pantai timur) atau makanan yang diisi di dalam plastik boleh digunakan pisau lipat, setelah makan nasi lemak, akan diikat bungkusan nasi lemak itu dengan getah yang dibawanya agar tidak terbang merata-rata...


kini saya hanya punya seorang tokki untuk dijaga dengan baik, nenek-nenek semuanya telah meninggal ketika saya masih muda, moyang-moyang saya juga telah meninggal. ibu saya selalu berpesan..kita cuma ada seorang sahaja lagi orang tua untuk dijaga, cuma seorang sahaja...jika kita tidak dapat menjaganya dengan baik...alangkah, alangkah ruginya kita~ sepanjang saya hidup, saya selalu dikelilingi oleh orang-orang tua, dan kerana itu juga bila difikirkan kembali, hidup saya banyak dibentuk oleh kebersamaan saya dengan warga tua~


Kita tidak akan pernah tahu apakah nasib kita di hari tua. dan kita juga tidak akan pernah tahu apakah umur kita bisa sampai hingga hari tua~ kerana mati itu tidak mengenal usia dan tiada yang lebih pasti di dalam kehidupan kita melainkan semakin lama kita hidup semakin dekat kita dengan kematian...

Ya Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, limpahkanlah rahmat-Mu kepada moyang-moyangku, datuk-datukku, nenek-nenekku, samada yang masih hidup atau telah meninggal dunia dan terimalah amal mereka sebagai amal yang soleh dan Engkau redhai~

Dari-Mu kami datang, dan kepada-Mu jua tempat kami kembali~

p/s selepas ini mahu dihabiskan kisah kembara ke haramain sebelum berbicara sesuatu yang lebih serius. walau saya tahu blog saya ini tiada yang membacanya, diharap adik-adik saya yang 'bertebaran' akan mendapat sesuatu dari kak long nya =)





2 comments:

  1. saloh bg komen kat tmpat laen.. hahaha
    ika pon rindu shame tokki!!
    (tulih mule pa)

    ReplyDelete
  2. lela pun rindu shame tokki~ kita guna ilmu yang tokki tulis dlm buku tu~semoga dapat 'bahagian' untuk tokki insyaAllah.. kak long and abah baru jumpa buku tokki tulis pasal 4 imam mazhab~ siap ada isi kandungan lagi~huhu

    ReplyDelete