Tuesday, April 20, 2010

SELAMAT ULANGTAHUN =)


Selamat Ulangtahun yang ke-27 buat ibu dan abah tercinta
Terima kasih buat segala-galanya,
Terima kasih yang tidak terhingga,
Terima kasih yang tidak terucapkan,
 Semoga bahagia di dunia juga di akhirat sana,
Semoga kita tetap bersama-sama hingga di akhirat sana,
Semoga Allah merahmati ibu dan abah pada setiap ketika,
menghilangkan lelah, melenyapkan duka, menghadirkan damai dan bahagia
walau apa jua yang tiba..
Kita cuma keluarga yang biasa-biasa, punya kekurangannya,
Sama-sama lah kita bergabung jiwa mengumpul usaha mencari cinta Allah yang Esa..

Selamat Ulangtahun daripada anakanda-anakanda yang sentiasa mendoakan ibu dan abah walau di mana sahaja kami berada...


Wednesday, April 14, 2010

Cahaya Yang Tidak Pernah Hilang

Membaca Putera Lembah Bakkah dirasakan seperti benar-benar berada pada zaman baginda Rasulullah saw...

Kenangan di Madinah al-Munawwarah

Pandangan mata saya kecilkan tanda mengalah pada cuaca panas hari itu. Bahang pula dibawa angin menyelimuti seluruh anggota badan. Jika sejuk sering diumpamakan sehingga sampai ke tulang, bahang panas hari itu seolah-olah tiada umpamanya. Kelompok manusia pelbagai warna dan bangsa memenuhi dataran di hadapan Masjid Nabawi. Semuanya baru sahaja melepasi situasi berdesak-desakan di hadapan pintu masjid yang indah itu. Saya berjalan perlahan-lahan sambil mengamati suasana hari itu…walau apa sahaja cuacanya tiada yang tidak tenang jiwanya berada di sini lebih-lebih lagi tatkala mengingatkan Rasulullah yang dikasihi pernah hidup di sini, berjuang di sini, menyebarkan kasih-sayang di sini…Tidak tergambarkan betapa gembiranya kaum Ansar menyambut ketibaan “bulan purnama” kecintaan Allah Rabbul Izzati. Seperti tiada apa lagi yang diharapkan dengan kebersamaan Rasulullah SAW di sisi.

Dari jauh, saya melihat seorang anak lelaki kecil berbaju biru muda dan berseluar coklat muda sedang melutut di dalam sebuah kedai menjual kitab-kitab dan al-Quran. Saya dan ayah singgah sebentar di kedai itu. Sedang menyusun kitab-kita di atas almari rupanya anak lelaki tadi, patutlah tertunduk-tunduk sahaja. Badannya masih kecil tetapi sudah pandai menolong ayah di kedai. Kagum sungguh saya melihat kesungguhannya. Saya cuba merapatkan diri, dia pula mengelak seperti tidak selesa.

“ Berapa umurmu?” saya bertanya perlahan.

Dia mengerutkan dahi. “Tiga!”

“Tiga?” saya bertanya kembali, terkejut dengan jawapan yang keluar dari mulut kecilnya. Saya jangka umurnya dalam lingkungan 6 tahun. Saiz anak Arab lebih besar barangkali…

Dia mengangguk kuat, seperti mahu meredakan rasa terkejut saya. Harap-harap betul jawapannya, dan lebih tinggi lagi harapannya semoga betul soalan yang saya tanyakan itu! =)

Mengetahui yang umurnya cuma tiga tahun mengikut jawapannya, saya memberanikan diri menggosok belakangnya, tetapi dia semakin menjauh sambil memandang tepat pada ayahnya. Kecut perut saya dibuatnya, walaupun kalau diikutkan hati ingin sahaja saya memeluk anak itu dan mencium pipinya. Teringat pada anak-anak kecil yang saya temui di Masjidil Haram sebelumnya, ‘Abdullah, Hamzah, dan Fatma, semuanya senang dan sedia didekati.

Ya Rasulullah, aku berada hampir denganmu, apakah hatiku juga begitu...


Tanggungjawab kepada Rasulullah


Mengimaninya: Kita wajib beriman bahawa Muhammad bin 'Abdullah adalah nabi dan pesuruh Allah, utusan-Nya, hamba-Nya, dan pilihan-Nya. Baginda seorang yang maksum dan tidak pernah sedikitpun menyekutukan ALlah. Kita beriman bahawa baginda adalah nabi yang terakhir dan tidak ada lagi kenabian selepas Nabi Muhammad. Baginda adalah pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa, pemimpin yang menjadi teladan dalam segenap tingkah lakunya dan hanya baginda yang wajib diteladani.

Mencintainya: Cinta kepada Rasul itu adalah di tempat kedua setelah cinta yang tulus kepada Allah. Kita wajib mendahulukan kecintaan kepada Nabi Muhammad berbanding kecintaan kepada diri sendiri, ibu bapa, anak-anak dan ahli keluarga. Rasa cinta yang teguh kepada baginda Rasul inilah yang membuatkan para sahabat rela berkorban jiwa dan raga demi Rasulullah saw. Menurut hadis riwayat Muttafaqun 'alaih oleh Anas bin Malik ra, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

"Tidaklah beriman seseorang itu sehingga ia menjadikan diriku sebagai yang paling ia cintai daripada orang tuanya, anaknya dan seluruh manusia"
Mengamalkan Sunnahnya: Islam adalah agama sepurna yang dibawakan oleh Rasulullah. Segala ibadah sunnah hendaklah dilakukan dengan penuh keikhlasan bagi mencari keredhaan Allah dan menghidupkan sunnah Rasulullah. Seseorang itu akan bersama dengan siapa yang ia cintai. Dalam hadis yang berasal daripada Anas bin Malik dikatakan seseorang bertanya kepada Nabi Muhammad saw " Bila tibanya hari kiamat wahai Rasulullah?" Nabi Muhammad kemudian menjawab "Apakah yang kamu sudah siapkan untuknya?" Orang itu kembali membalas "Aku tidak banyak mempersiapkan solat, zakat , puasa, dan sedekah untuk itu. Tetapi aku mencintai Allah dan Rasulnya" Nabi Muhammad menjawab "Sesungguhnya kamu bersama dengan siapa yang kamu cintai"

(dipetik daripada buku Jadi Seperti Muhammad, karya AA GYM dengan sedikit ubahsuai)

Justeru, jika kita ingin mengambil seseorang sebagai contoh tauladan, Nabi Muhammad adalah orangnya. Tiada lagi manusia yang paling mulia yang pernah diciptakan oleh Allah untuk kita teladani. Siapakah Muhammad di hati kita? Jadilah seperti Muhammad, amalkanlah sunnahnya, kasihilah dan cintailah baginda...

Naskhah Putera Lembah Bakkah saya peluk erat buat menemani mimpi di malam hari. Ada air yang mengalir membasahi pipi. Apakah aku akan bersama denganmu Ya Rasulullah di syurga nanti...Wahai Rasulullah, sesungguhnya cahayamu tidak akan pernah hilang....



Wallahu'alam

Ya Allah, peliharalah hati hambaMu~


* lain orang, lain ujiannya. lain ujian, lain penyelesaiannya, tetapi kita semua punya tempat pergantungan yang sama. DIA lah Allah yang Maha Kuasa

Thursday, April 1, 2010

Ya Allah, Aku Teringin...

Teringin merendam kaki ke dalam air laut atau air sungai yang jernih dan menyejukkan
Teringin menyelimuti kaki dengan pasir pantai yang halus dan putih bersih
Teringin menghirup udara segar dan nyaman di tepi laut atau barangkali di dalam hutan
Teringin berbaring di atas pasir pantai memandang langit malam yang dihiasi bintang-bintang berkelipan,
bulan pula memandang sambil melemparkan senyuman
Teringin mendukung anak kecil dan mencium baunya yang mendamaikan

Ya Allah, aku teringin~

* sebenarnya kerja banyak amat. rasa nak guling-guling aje.mata pun dah naik juling...huhu.dan sungguh, tak tipu memang betul-betul rasa nak muntah. kepada adik-adik yang masih di universiti bukan senang tau nak dapat pengiktirafan sesuatu course tu. banyak kerja kena buat. hargailah mereka-mereka yang di belakang tabir ni...hehe.
belajar rajin-rajin, sungguh-sungguh,jaga solat, jaga akhlak elok-elok. jaga Allah, Allah jaga kita..(banyak membebel ni..)


Wallahu'alam


Ya Allah, peliharalah hati hambaMu~